Monday 14 April 2014

Oh! Tips: Penjagaan Telinga Anda

Artikel kali ini berkisar kepada satu bahagian penting tubuh badan kita iaitu telinga. Telinga adalah salah satu anugerah yang tidak ternilai harganya dari Allah SWT kepada kita. Menjaganya dengan baik, bermakna kita menjaga amanah Tuhan kepada kita dengan baik. Ok, inilah serba sedikit info serta tips berkaitan telinga dan juga berkaitan penjagaan telinga. Jom baca!

Pengenalan (Pengenalan, Anatomi dan Fungsi)
Terdapat dua fungsi telinga iaituuntuk pendengaran dan keseimbangan. Telinga perlu dijaga dan dilindungi daripada bahaya supaya sihat dan boleh berfungsi dengan baik.

Telinga terdiri daripada tiga bahagian:
  • Telinga luar terdiri daripada pina dan salur telinga.
  • Telinga tengah terdiri daripada 3 tulang kecil yang dipanggil tukul, andas dan rakap.
  • Telinga dalam terdiri daripada koklea dan salur separuh bulat.
Cara membersihkan tahi telinga
Sel-sel dalam saluran telinga menghasilkan bahan melekit seperti lilin yang disebut tahi telinga (ear wax).

Tahi telinga mempunyai tiga tugas utama.
  • Ia melindungi dan melembapkan kulit salur telinga, serta mencegah telinga daripada menjadi kering dan gatal.
  • Ia mengandungi bahan kimia khas yang menentang jangkitan yang boleh merosakkan kulit salur telinga.
  • Ia bertindak sebagai perisai antara persekitaran luar dan gegendang telinga. Tahi telinga memerangkap debu, kotoran, dan benda-benda lain daripada memasuki telinga anda.
Anda mungkin tertanya-tanya sama ada tahi telinga perlu dibersihkan. Tahi telinga mengalir keluar dari telinga secara semulajadi. Apa yang perlu anda lakukan adalah membersihkan tahi telinga menggunakan kain bersih. Pastikan kuku jari anda pendek untuk mencegah kecederaan pada kulit

JANGAN korek telinga dengan batang mancis, jarum, atau sebarang objek tajam. Mengorek telinga boleh menyebabkan luka pada kulit dan jangkitan penyakit.

JANGAN guna putik kapas untuk membersih salur telinga. Mengorek telinga dengan putik kapas boleh menyebabkan tahi telinga ditolak jauh ke dalam salur telinga. Pendengaran akan berkurangan jika tahi telinga berkumpul dan menghalang gelombang bunyi daripada sampai ke gegendang telinga.

Jika telinga tersumbat, gunakan titisan minyak zaitun bagi melembutkan tahi telinga.

Masalah pendengaran
Masalah pendengaran boleh berlaku pada semua peringkat umur. Ia tidak hanya berlaku dalam kalangan orang tua sahaja.

Cara untuk mengetahui samada anda mengalami masalah pendengaran:
  • Gagal untuk memahami perbualan
  • Tidak dapat mendengar dalam persekitaran yang bising
  • Bunyi berdesir dalam telinga (tinnitus)
  • Terpaksa menguatkan bunyi apabila menonton TV atau mendengar radio
  • Sentiasa meminta orang lain mengulang percakapan
  • Merasakan perbualan seperti mengumam (menahan suara dalam mulut)
  • Mengelakkan diri daripada berbual dengan keluarga dan rakan-rakan
Masalah pendengaran terdiri daripada beberapa tahap:
  • Ringan - Sukar untuk mendengar dalam persekitaran yang bising
  • Sederhana – Sukar mendengar bisikan
  • Teruk - Gagal memahami bunyi percakapan yang kuat
  • Sangat teruk – Tidak mendengar bunyi yang sangat kuat.
Kehilangan pendengaran boleh berlaku secara tiba-tiba, sebagai contoh:
Kecederaan secara tiba-tiba disebabkan bunyi yang sangat kuat seperti bunyi tembakan.

Jangkitan di telinga.
Air tersumbat dalam telinga dan menyebabkan tahi telinga menjadi kembang.

Masalah pendengaran boleh berlaku perlahan-lahan disebabkan oleh perkara berikut:
  • Jangkitan telinga kronik
  • Terdedah kepada bunyi bising dalam tempoh yang panjang
  • Ubatan ototoxic (ubat yang boleh mencederakan telinga)
Masalah pendengaran akibat bunyi bising
Kehilangan pendengaran boleh berlaku tanpa disedari. Contohnya seperti senario berikut:

"Seorang doktor bertanya pesakitnya samada tempat kerjanya bising. Pesakit tersebut telah bekerja di tempat tersebut bertahun-tahun lamanya. Beliau memberitahu doktor bahawa pada awalnya tempat kerjanya bising tetapi selepas bertahun-tahun, tempat tersebut tidak begitu bising."

“Jangan biasakan diri dengan bunyi bising.”

Bunyi bising yang merosakkan telinga anda tidak semestinya kuat. Anda mungkin berasa telinga anda telah biasa dengan bunyi bising, tetapi apa yang sebenarnya terjadi adalah anda telah mula mengalami masalah pendengaran.

Berapa cepat seseorang hilang pendengaran bergantung pada kenyaringan bunyi dan tempoh masa terdedah kepada bunyi.

Mendengar muzik yang kuat dengan kerap boleh merosakkan pendengaran, terutamanya sekiranya fon kepala (headphone) digunakan. Beberapa pemuzik yang terkenal telah pekak dan mengalami tinnitus. Anda mungkin perasan beberapa pemuzik kegemaran anda memakai alat pelindung pendengaran semasa mereka bermain muzik.

Pengacara lagu di disko dan pasar raya juga terdedah kepada muzik yang kuat. Apabila menghadiri konsert atau berada dekat dengan alat pembesar suara, anda terdedah kepada muzik yang kuat yang boleh merosakkan telinga.

“Bunyi bising boleh merosakkan saraf. Masalah pendengaran akibat bunyi bising adalah kekal. Keupayaan mendengar tidak boleh dikembalikan. Anda perlu memakai alat bantuan pendengaran bagi masalah pendengaran.”

Bagaimana mengetahui anda berada di tempat yang bising?

Tahap untuk bunyi yang selamat adalah 85 dB (desibel) selama 8 jam sahaja. Sekiranya anda perlu menjerit supaya oleh orang yang berada sejauh 3 kaki dari anda dapat mendengarnya, tahap bunyi bising mungkin 85 dB (desibel) atau lebih dan alat pelindung pendengaran perlu digunakan.

Dua tanda telinga anda telah rosak

Jika selepas mendengar bunyi yang sangat kuat, pendengaran anda menjadi seolah-olah tidak jelas atau sayup-sayup, bermakna anda telah mengalami perubahan tahap pendengaran sementara atauTemporary Threshold Shift (TTS) yang memberi amaran bahawa telinga anda telah terdedah kepada bunyi yang melebihi had.  Jika telinga anda terus terdedah kepada bunyi kuat tanpa perlindungan, keadaan boleh menjadi bertambah buruk dan berkekalan sehingga menyebabkan kerosakan telinga yang tidak boleh dirawat.

Pendedahan kepada bunyi kuat untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan anda mengalami tinnitus iaitu bunyi berdesing dalam kepala. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh. Ini adalah amaran bahawa sel-sel rambut dalam telinga anda telah rosak. Tinnitus boleh dikesan di tempat yang sunyi seperti apabila hendak tidur pada waktu malam. Jika anda tidak melindungi telinga anda daripada bunyi bising, tinnitus boleh berkekalan dan sentiasa mengganggu keselesaan hidup anda.

Bagaimana melindungi pendengaran anda?

Panduan menjaga pendengaran.
  • Lindungi telinga anda dengan memakai alat perlindung pendengaran (ear muff atauear plug) apabila anda menggendalikan mesin jentera yang mengeluarkan bunyi yang kuat.
  • Mengurangkan bunyi iPod/MP3, terutamanya apabila anda memakai fon telinga atau berada di dalam kereta.
  • Jika anda gemar memakai fon telinga, sekali-sekala, rehatkan telinga anda
  • Jika anda menghadiri konsert, pakai alat perlindungan pendengaran.
  • Apabila menggunakan telefon bimbit, gunakan mod pembesar suara.
sumber:myhealth.gov.my

PS: Ok, itulah tips penjagaan telinga. Semoga memberi sedikit ilmu dan panduan pada anda. Jagalah telinga anda jangan sampai rosak, jika ianya rosak maka tiada peluang untuk pulih semula..