Haa.. Untuk artikel kali ni admin nak becerita serba-sedikit bab nak ambil lesen memandu iaitu lesen L dan lesen P. Lesen memandu merupakan sesuatu yang amat penting di era membangun ini. Tidak kira lelaki atau wanita, memiliki lesen memandu adalah sesuatu yang wajib dan perlu segera diambil. Rata - rata remaja yang genap 16 tahun sudah memiliki lesen motorsikal kelas B2. Kan? Kan?
Jadi hari ini admin akan berikan langkah-langkah untuk mendapatkan lesen memandu. So, layan...
1. PASTIKAN JENIS LESEN YANG MAHU DIAMBIL
Sebelum mendaftar dengan sekolah memandu, pastikan dulu umur andasekarang sudah mencapai had kelayakan untuk mengambil lesen atau belum. Had umur untuk lesen motorsikal ialah 16 tahun manakala kereta ialah 17 tahun.
2. MENDAFTAR DENGAN SEKOLAH MEMANDU
Pergi ke mana-mana sekolah memandu yang sah dan bincang mengenai harga, kemudahan pengangkutan, jumlah jam belajar dan sebagainya yang ditawarkan. Kemungkinan juga anda akan gagal ujian undang-undang dan ujian praktikal JPJ. Pastikan anda bertanya kepada pengusaha sekolah memandu tersebut mengenai jumlah bayarannya. Begitu juga dengan Lesen L dan P. Adakah ia termasuk dalam jumlah bayaran tersebut.
Kebiasaannya harga untuk semua itu bagi lesen kereta ialah antara RM800– RM950 manakala lesen motorsikal RM450 – RM550. Anda boleh mengurangkan kos seperti menolak kemudahan pengangkutan, mengurangkan jam belajar dan membayar sendiri lesen L dan P di JPJ. Jika sudah setuju boleh terus mendaftar di sekolah memandu tersebut dengan menyerahkan salinan MyKad, gambar 2 keping dan bayaran deposit. Pastikan resit pembayaran diterima.
3. SENARAI KELAS YANG WAJIB DIIKUTI
Kursus-kursus yang wajib anda hadiri ialah:
i) Kursus 5 jam K.P.P. (Kursus Pendidikan Pemandu).
ii) Ujian undang-undang berkomputer. Perlu lulus sebelum boleh mengikuti kelas seterusnya.
iii) Kursus Pra L – teori 3 jam dan amali 3 jam.
iv) Ujian pra kelayakan atau Q.T.I.
v) Ujian praktikal J.P.J.
4. MENGHADIRI KURSUS K.P.P. 5 JAM.
Pilih hari yang sesuai untuk anda menghadiri kursus K.P.P. ini. Biasanya kelas bermula jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 4.00 petang. Pastikan anda berpakaian kemas seperti memakai baju berkolar, seluar panjang dan kasut setiap kali anda menghadiri kelas memandu. Sijil K.P.P. ini sah laku selama 1 tahun.
5. UJIAN UNDANG-UNDANG BERKOMPUTER
Selepas 3 hari anda menghadiri kursus K.P.P., anda dibolehkan untuk menduduki ujian undang-undang berkomputer di pusat ujian berdekatan dengan rumah anda. Markah lulus ialah 42/50. Jika gagal anda perlu mendudukinya semula sehingga lulus bagi melayakkan anda menduduki kelas Pra L. Kebiasaannya anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM50 untuk mendudukinya semula. Selepas lulus ujian undang-undang, anda diberikan sijil keputusan. Sijil ini sah laku selama 1 tahun.
6. MENGHADIRI KURSUS PRA L – TEORI 3 JAM DAN AMALI 3 JAM
Kehadiran ke kelas ini bagi membolehkan anda mendapatkan sijil JPJL2B. Dengan ini akan dapat Lesen L kira-kira seminggu selepas tarikh anda menghadiri kursus ini.
7. BELAJAR MEMANDU KERETA ATAU MOTORSIKAL
Lesen L melayakkan anda untuk belajar secara praktikal memandu. Untuk L motorsikal, anda sudah boleh memandu di jalan raya secara berseorangan. L kereta pula, anda perlu belajar memandu dari pengajar yang mempunyai sijil pengajar. Latihan memandu biasanya adalah selama 4 – 5 kelas atau 8 – 10 jam. Ia bergantung kepada calon itu sendiri. Ada juga yang belajar lebih dari itu. Sudah pasti harga juga akan meningkat.
Untuk motorsikal, anda akan belajar membuat pusingan 8, titi, halangan kon, brek kecemasan dan jalan raya. Semua itu dilakukan di litar motorsikal yang disediakan oleh institut memandu. Untuk lesen kereta pula, anda akan diajar menaiki bukit, side parking, 3 penjuru dan jalan raya. Semua itu akan diajar di litar kecuali jalan raya anda akan diajar di jalan raya sebenar.
8. UJIAN PRA ATAU Q.T.I.
Ujian ini dijalankan sebelum anda dibenarkan untuk menduduki ujian praktikal J.P.J. Ia dijalankan oleh penguji yang bertauliah di institut memandu. Penguji- penguji ini biasanya akan melihat sejauh mana tahap pemanduan anda. Sekiranya gagal dia akan mencadangkan anda untuk belajar 1 atau 2 kelas lagi sebelum diuji semula. Setelah lulus anda boleh menempah tarikh ujian praktikal JPJ.
9. UJIAN PRAKTIKAL J.P.J.
Anda akan diuji oleh penguji yang dihantar olehpihak JPJ. Terdapat 2 bahagian iaitu litar dan jalan raya. Anda perlu lulus kedua-duanya bagi membolehkan anda mendapatkan lesen P. Jika gagal, kebiasaannya anda akan dikenakan caj tambahan sebanyak RM100 – RM200 termasuk 1 atau 2 kelas lagi belajar memandu.
10. LESEN P
Setelah lulus ujian praktikal JPJ, anda perlu menyerahkan butir-butir di bawah kepada sekolah memandu anda :
1 keping gambar.
1 keping salinan fotostat MyKad.
1 keping salinan lesen L.
Bayaran (jika ada)
Dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu anda akan mendapat lesen P tersebut.
Ok, itulah serba sedikit panduan untuk mendapatkan lesen memandu. Bila dah lulus tu, silalah gantung logo keramat tu ye.. Yang L tu, lekatkanlah logo L dan yang P tu lekatkanlah Logo P. Jangan malu & segan ye.. Ianya baik untuk keselamatan kita ketika memandu.. Peraturan tu di buat untuk kebaikan, dan bukan di buat untuk dilanggar! Jika ada kesilapan atau kekilafan dalam panduan ni, haraop di maafkan.
Ps: Untung la, admin dah ada lesen B2 dan D dan dah habis tempoh percubaan P. Hehe.. Jika ada masa nanti admin akan menulis panduan dan tips-tips untuk lulus ujian pemanduan kelas B2 ( motorsikal bawah 250cc). Insyaallah..
Sumber: Syafaonline